Laporan ringkas Kursus Pemantapan Staf FKM, UiTM Permatang Pauh

Pada 31 Mac 2018, warga Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), UiTM Pulau Pinang telah berjaya menganjurkan program Kursus Pemantapan Staf di Escape Recreation Center, Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Program ini meninggalkan kenangan yang manis dan istimewa kerana sudah lebih 5 tahun warga FKM tidak berpeluang untuk menganjurkan kursus seperti ini disebabkan kekangan-kekangan yang tidak dapat dielakkan.

Peserta program tiba seawal 9.30 pagi di perkarangan Escape Recreation Center dan disertai seramai 80 orang warga FKM dari pelbagai latar belakang. Program dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh Dr. Rozaini Othman dan disusuli dengan ucapan alu-aluan dari Pengarah Program, Encik Hazim Sharudin. Selepas itu, program dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian FKM, Dr Abdul Rahman Hemdi.

 

Setelah selesai upacara perasmian program, para peserta telah diberikan taklimat keselamatan dan pengagihan aktiviti oleh wakil pihak Escape dan Ahli Jawatankuasa Program. Pihak Escape Recreation Center telah memberikan kerjasama penuh dalam menyediakan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian untuk semua peringkat umur.

 

Setelah selesai menjalani semua aktiviti, majlis penyampaian hadiah telah diadakan untuk meraikan semua pemenang. Program ini berakhir pada jam 5.00 petang dan rata-rata peserta program menzahirkan rasa gembira dengan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan, dan mereka juga bersyukur dan mengakui bahawa program-program seperti ini berjaya mengeratkan ukhuwah sesama warga FKM.Semoga ukhuwah sesama warga FKM terus utuh dan kuat demi melestarikan kejayaan anak bangsa di UiTM ini. Amin.