Pada 29 Julai 2019, warga Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Cawangan Pulau Pinang telah berjaya menganjurkan program Kursus Pemantapan Staf di Hutan Lipur Sungai Sedim, Kulim Kedah. Program ini diadakan sebagai satu usaha untuk memperkasakan semangat kerja berpasukan dan disiplin kerja serta mengeratkan ukhuwah sesama staf Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

   

Peserta program yang disertai seramai 86 orang warga FKM telah tiba seawal 9 pagi di perkarangan Sedim Eco Resort, Kulim Kedah. Program dimulakan dengan ucapan aluan dari Pengarah Program, Encik Hazim Sharudin dan seterusnya dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian FKM, Dr Mohd Fauzi Bin Ismail.

 

Setelah selesai upacara perasmian program, para peserta telah diberikan penerangan perjalanan aktiviti oleh pihak Sedim Eco Resort. Secara keseluruhannya, terdapat 3 aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut. Aktiviti pertama adalah Ice Breaker Session: Tarantula Game. Aktiviti kedua adalah TEAM PLAY di mana setiap kumpulan dibahagikan kepada 2 kumpulan kecil iaitu Adventure Play River dan Explorace. Aktiviti ketiga pula adalah River Crossing. Pihak Sedim Eco Resort telah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyediakan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dan memastikan keselamatan semua peserta sepanjang program dijalankan.

 

Setelah semua aktiviti selesai, majlis penyampaian hadiah telah diadakan untuk meraikan semua pemenang. Sebelum pulang, semua peserta disajikan dengan menu istimewa iaitu pulut durian dan cempedak goreng serta buah-buahan tempatan yang segar seperti buah durian, rambutan dan langsat untuk menu minum petang.

 

Program ini berakhir pada jam 5.00 petang dan rata-rata peserta program menzahirkan rasa gembira dengan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan dan masakan ala kampung yang telah disajikan oleh pihak Sedim Eco Resort. Mereka juga bersyukur dan mengakui bahawa program-program seperti ini berjaya mengeratkan ukhuwah sesama warga FKM. Semoga ukhuwah sesama warga FKM terus utuh dan kuat demi melestarikan kejayaan anak bangsa di UiTM ini. Amin.