PROGRAM PRA DIPLOMA
Menjadi mahasiswa universiti merupakan impian setiap pelajar. Namun di atas pelbagai faktor, tidak semua daripada pelajar ini mampu menjadikan impian ini satu realiti. Ini menyebabkan ramai anak Melayu, anak Orang Asli, anak Sarawak dan anak Sabah tercicir di dalam pelajaran dan kesan daripada ini menyebabkan mereka meneruskan hidup tanpa ilmu dan tidak dapat menggunakan potensi diri yang sebenar secara optimum.
Jesteru, sebagai menunaikan tanggungjawab yang besar kepada masyarakat dan negara, UiTM menawarkan Program Pra Diploma khusus bagi membantu calon lepasan SPM melalui program pengukuhan akademik. Pelajar-pelajar yang lulus Pra Diploma (CGPA 2.0 ke atas) akan diserapkan ke pengajian di peringkat Diploma dan seterusnya membuka peluang yang lebih besar kepada mereka meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.
Program Pra Diploma ini dahulunya adalah program yang dikenali sebagai Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB), kemudian dikenali pula sebagai Pra Pendidikan Tinggi (PPT). Mulai 15 April 2023, PPT telah dijumudkan dan kini program ini dikenali sebagai Pra Diploma. Program ini berteraskan kepada falsafah universiti yang percaya bahawa bahawa seseorang individu itu mampu berusaha untuk mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu dan penerapan nilai-nilai murni.
Terdapat dua tujuan utama program ini, iaitu:
1. Mengambil pelajar – pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperolehi keputusan SPM yang tidak memenuhi syarat-syarat keperluan UPU.
2. Mengambil pelajar lepasan aliran perakaunan/ perniagaan/ seni (STEM C) SPM, yang memperolehi Sains dan Matematik sekurang-kurangnya gred B untuk membolehkan mereka memohon ke Diploma aliran Sains/Teknologi/Kejuruteraan/Matematik.
Program ini adalah terbuka kepada golongan B40 dan juga bukan B40 agar kesemua mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Calon-calon yang memohon dan memenuhi syarat akan ditawarkan untuk mengisi 3800 kekosongan tempat (2025) di dalam program Pra Diploma di semua kampus negeri UiTM di seluruh negara. Lima (5) program yang utama yang ditawarkan di bawah program ini adalah program Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Sains, Pra Diploma Agroteknologi, Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) dan Pra Diploma Pengajian Islam. Ambilan pelajar dibuat dua kali setahun dan kesemua maklumat terkini berkaitan ambilan akan dipaparkan di laman web Bahagian Pengambilan Pelajar (BPP) dari masa ke masa.
VISI
Menjadikan UiTM sebuah universiti terkemuka dunia dalam bidang Sains, Teknologi, Kemanusiaan dan Keusahawanan.
MISI
Menjuarai pembangunan bumiputera profesional yang tangkas menerusi kurikulum terkehadapan dan penyelidikan berimpak.
NILAI
Kecemerlangan: Mengamalkan kualiti piawai dalaman yang standard bagi memenuhi keperluan dan jangkaan pemegang taruh.
Sinergi: Bekerjasama rapat untuk memaksimumkan produktiviti yang memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.
Integriti: Memupuk nilai kejujuran, hormat dan ketelusan untuk mencapai standard profesionalisme yang tinggi.

Tarikh kemaskini: 22 April 2026
UiTM Cawangan Pulau Pinang menawarkan tiga program Pra Diploma, iaitu:
- Pra Diploma Perdagangan
- Pra Diploma Sains
- Pra Diploma Sains (STEM C & Sastera)


Kemaskini 22 April 2026
PANDUAN/ MAKLUMAT PRA DIPLOMA UiTM : https://sites.google.com/uitm.edu.my/prauitm
Permohonan ke Program Pra Diploma Ambilan Oktober 2026 akan dibuka mulai 1 Mei 2026 hingga 30 Jun 2026

Kepada pelajar yang telah berjaya mendapat tawaran, sila ikuti panduan pendaftaran online di bawah:
Kemaskini 30 April 2026
SOALAN - SOALAN LAZIM
1- Siapakah yang layak memohon ke program Pra Diploma?
Lepasan SPM tahun semasa dan 4 tahun kebelakang DAN Warganegara Malaysia berketurunan Melayu/ Anak Negeri Sabah/ Anak Negeri Sarawak/ Orang Asli. Contoh: Ambilan Oktober 2026, pelajar SPM 2025, 2024, 2023, 2022 dan 2021 layak memohon.
2- Bagaimana calon Pra Diploma boleh menerima bantuan insentif sepanjang tempoh pengajian?
Calon layak menerima bantuan/insentif sekiranya pendapatan (gaji kasar) ibu & bapa adalah kurang daripada RM5000 sebulan (RM 0.00 hingga RM4999.99). Pelajar akan dikategorikan sebagai pelajar B40 dan akan ditawarkan program untuk pelajar B40 seperti AS002, AS007, BA002, AT001 atau IC001.
3- Apakah bentuk bantuan insentif yang diterima oleh pelajar B40?
Calon akan menerima bantuan yuran pengajian percuma, yuran kolej (asrama) percuma, elaun sara diri yang akan diterima sebanyak beberapa kali dalam satu semester.
Bagi calon bukan B40, yuran pengajian dan yuran kolej perlu dibayar.
4- Bagaimanakah cara untuk memohon program Pra Diploma ini?
Pemohon perlu memohon no.pin melalui (https://online.uitm.edu.my/pra/) KEMUDIAN membuat permohonan secara online (https://online.uitm.edu.my/pra/) DAN email dokumen sokongan yang telah disahkan ke mana-mana Unit Pra Diploma Cawangan UiTM.
5- Apakah program Pra Diploma yang ditawarkan?
UiTM menawarkan lima (5) program Pra Diploma iaitu Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Sains, Pra Diploma Sains (Aliran STEM C & Sastera), Pra Diploma Agroteknologi dan Pra Diploma Pengajian Islam.
6- Bagaimana saya boleh tahu jenis program yang perlu saya pohon?
Pemohon perlu menjumlahkan gaji kasar IBU dan BAPA. Jika, jumlah tersebut adalah RM 0 - RM 4999.99, pemohon boleh memohon program BA002 (perdagangan), AS002 (sains (STEM C & sastera), AS007 (sains), AT001 (agroteknologi) dan IC001 (pengajian islam). Jika jumlah tersebut adalah RM5000.00 dan ke atas, maka pemohon boleh memohon program BA003, AS003, AS008, AT002 atau IC002.
7- Apakah perbezaan program Pra Diploma Sains dengan Pra Diploma Sains (STEM C & Sastera)?
Pra Diploma Sains (AS007/ AS008) adalah program untuk pelajar dari aliran sains tulen (STEM A atau STEM B) semasa SPM. Manakala, Pra Diploma Sains (STEM C & Sastera) (AS002/ AS003) adalah untuk pelajar dari aliran perakaunan/ perniagaan/ seni (STEM C) semasa SPM.
8- Mengapakah program Pra Diploma Sains (STEM C & Sastera) adalah dua semester?
Program ini adalah untuk pelajar aliran perakaunan/ perniagaan/ seni (STEM C) semasa SPM mempelajari kursus asas Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik bagi membolehkan mereka memilih Diploma UiTM dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan atau matematik seperti Diploma Sains, Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Sains Komputer dan lain-lain.
9- Sekiranya saya telah menghantar dokumen yang tidak disahkan oleh Penghulu/ Pegawai Kerajaan Kumpulan A, adakah permohonan saya akan diproses?
Dokumen yang tidak lengkap dan tidak disahkan tidak akan diproses. Permohonan akan diproses sekiranya pemohon menghantar semula dokumen seperti yang diminta oleh pihak UiTM sebelum tarikh tutup permohonan. Pemohon hendaklah sentiasa menyemak email peribadi (yang digunakan untuk emailkan dokumen ke UiTM), dan memberikan maklumbalas kepada pihak UiTM.
10- Apakah kebarangkalian untuk saya mendapat Diploma pilihan saya?
Kebarangkalian adalah tinggi. Pelajar lepasan Pra Diploma UiTM akan didahulukan untuk dipilih masuk ke Diploma pilihan pertama mereka sekiranya layak, iaitu, lulus semua kursus diambil dan melepasi syarat khas seperti temuduga atau CGPA program (jika ada).
11- Bilakah masanya saya akan mula mengisi borang pemilihan Diploma?
Seawal minggu kedua selepas memulakan sesi perkuliahan. Pelajar dibenarkan membuat pilihan tiga program Diploma, dan pilihan pertama adalah pilihan utama untuk ditawarkan kelak.
Unit Pra Diploma
Bahagian Hal Ehwal Akademik
UiTM Cawangan Pulau Pinang
Kampus Permatang Pauh
13500 Permatang Pauh
Pulau Pinang
No. tel. pejabat: 043822826/2942
Emeil : pra.ppauh@uitm.edu.my
Sila klik link berikut untuk aktiviti Pra Diploma UiTMCPP:
